12/11/2008

Tahniah SMK Putra!


Tahniah buat semua guru dan pelajar SMK Putra kerana sekolah ini telah dinobatkan sebagai Sekolah Terbaik STPM (Kategori Sekolah Harian Biasa) pada Ekspo Pendidikan Terengganu yang telah dirasmikan oleh YB Dato’ Razali bin Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada 9 November baru-baru ini yang berlangsung di Pusat Dagangan Terengganu (TTC). Anugerah tersebut telah diterima oleh pengetua sekolah, Encik Ramli bin Mat Amin. Semoga anugerah ini akan memberi perangsang kepada guru-guru dan pelajar untuk bekerja dan belajar dengan lebih gigih untuk meneruskan kecemerlangan STPM sekolah ini. Ini juga merupakan satu pengiktirafan bahawa sekolah ini, walau tercorot dalam banyak perkara masih mampu untuk bersaing dengan orang lain jika kita berusaha untuk mencapai visi dan misi. Harapnya, visi dan misi tidak hanya sekadar visi dan misi semata…

03/11/2008

Selamat Menduduki Peperiksaan SPM dan STPM


Minggu hadapan semua pelajar tingkatan 5 dan tingkatan 6 atas seluruh Malaysia akan mula menempuh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia bagi tahun 2008. Calon-calon SPM dan STPM SMK Putra juga tidak terkecuali. Sama ada bersedia atau tidak, mahu atau tidak mahu, akan tiba saatnya anda mesti menghadapinya. Kepada yang masih "lagha" dan masih diulik mimpi-mimpi indah, seharusnya boleh mula berfikir sekarang. Mungkin masih ada ruang untuk bertindak dan merubah masa depan anda dalam saat-saat akhir ini.Persediaan menghadapi peperiksaan bukan sahaja melibatkan persediaan fizikal sahaja tetapi juga melibatkan persediaan mental.

Perkara-perkara berikut perlu anda laksanakan terutama pada saat-saat akhir ini, antaranya ialah;

1.Sentiasa bermunajat kepada Allah. Lakukanlah solat hajat dan pohon agar Allah memberikan ketenangan dan menerangkan hati dalam menghadapi peperiksaan. Mohonlah kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan.

2.Minta restu daripada kedua-dua ibu bapa. Doa ibu bapa untuk anaknya sangat makbul. Jadi, mintalah mereka mendoakan kejayaan anda. jangan disakiti hati mereka.

3.Banyakkan berzikir dan membaca al-Quran. Hati yang banyak berzikir akan memperolehi ketenangan. Hati juga lebih terang apabila anda sering membaca al-Quran. Allah telah berfirman dalam surah ar-Ra'ad, ayat 36, yang bermaksud "Sesungguhnya dengan mengingat Allah akan menjadi tenanglah semua hati".

4.Jauhi daripada melakukan dan bergelumang dengan perbuatan maksiat. Jauhi diri anda dari perbuatan maksiat dan dosa besar. Mereka yang bergelumang dengan maksiat akan resah jiwanya. Hidup juga tidak akan diberkati Allah.

5.Perbanyakkan doa. Pastikan anda berdoa mengikut adab-adab berdoa.

selamat menyediakan diri untuk peperiksaan. Bertindaklah sekarang kerana mungkin masih ada ruang dan luang untuk anda membaiki segala kelemahan. Pastikan anda boleh berjaya. Tapi ingatlah, seperti yang selalu diingatkan, ilmu bukan hanya peperiksaan tetapi lebih daripada itu adalah untuk kehidupan. Jadilah manusia yang dapat memanfaatkan ilmu yang Tuhan berikan. Guru hanya menjadi penyampai sahaja. Sentiasalah bersyukur dan beringatlah supaya kita berada di landasan yang benar. Selamat menghadapi peperiksaan dunia yang akan menentukan kejayaan dunia dan akhirat. Jadilah seperti padi yang kian berisi kian tunduk bukan lalang yang terus berdiri meski kosong tak berisi.
Salam.

25/09/2008

SALAM LEBARAN 1429H


Get Hari Raya Graphics Here



Selamat bercuti dan sekolah akan dibuka semula pada 5 Oktober 2008.

02/09/2008

Salam 1 Ramadan 1429 Hijrah


Ramadan datang lagi. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan dan keampunan dari Allah S.W.T. Ramadan, bulan yang ditunggu-tunggu dan dirindui oleh setiap individu Muslim kerana di dalamnya terdapat berbagai-bagai keistimewaan dan kelebihan yang telah disediakan oleh Allah S.W.T.

Sebagai seorang Muslim kita semestinya merasa gembira dan bersyukur dengan kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak dan sama-sama bertekad menghayatinya dengan penuh keinsafan dan kesungguhan. Marilah kita sama-sama menyambut kedatangan bulan Ramadan ini dengan penuh rasa kecintaan dan kerinduan. Kita juga perlu membuat persediaan dan persiapan sama ada dari segi jasmani dan rohani supaya Ramadan yang disambut itu benar-benar dapat dihayati segala kelebihan dan keistimewaannya. Sebagai seorang Islam kita sawajarnya merebut dan mendapatkan segala peluang keemasan dan keistimewaannya yang terdapat pada bulan ini yang terdiri daripada tawaran pahala yang berlipat kali ganda serta anugerah Lailatul Qadar dan keampunan dari segala dosa dan kesalahan.

Sabda Rasulullah SAW: "Barang siapa merasa gembira dengan sebab kedatangan bulan Ramadan nescaya Allah Taala mengharamkan jasadnya daripada api neraka". (Hadis Riwayat Ahmad). Begitu juga kedatangan bulan Ramadan amat digeruni dan ditakuti oleh syaitan kerana pada bulan ini Allah tidak membenarkannya menghasut serta menggoda manusia melakukan kejahatan dan maksiat. Pada bulan ini syaitan akan dirantai dan dibelenggu. Dalam hal ini Rasulullah S.A.W. menjelaskan dalam hadis baginda:
"Daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda apabila telah tiba bulan Ramadhan, maka terbukalah semua pintu rahmat dan ditutup semua pintu neraka serta tangan-tangan syaitan dirantai". (Hadis Riwayat Ahmad)

Ramadhan ialah bulan yang sungguh luar biasa keistimewaannya berbanding dengan sebelas bulan yang lain. Apa tidaknya, segala dosa yang dilakukan akan mendapat keampunan dari Allah bagi hamba-Nya yang melakukan ibadah pada bulan tersebut dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas serta dengan penuh pengharapan. Tunggak ibadah pada bulan Ramadan ialah ibadah puasa iaitu menahan diri bukan sahaja daripada makan dan minum bahkan dari segala perkara-perkara maksiat dan yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari dan disertai dengan niat. Apabila seseorang itu telah berjaya menahan dirinya daripada perkara-perkara yang dinyatakan, maka layaklah ia mendapat pahala daripada Allah dengan izin dan kemurahan-Nya.

Dalam konteks ibadah puasa, sifat sabar merupakan perkara asas dalam kehidupan kita seharian terutamanya sabar dalam mengahadapi segala macam ujian hidup. Sifat sabar ini dapat dan mampu menjadikan kita seorang Muslim yang tabah dan mempunyai jati diri dalam mengahadapi ujian dan ranjau kehidupan. Sifat sabar perlu wujud dalam diri kita untuk menyempurnakan ibadah puasa kepada Allah dengan sebaik yang mungkin. Kita hendaklah laksanakan ibadah puasa ini dengan penuh keinsafan dengan meninggalkan semua perkara yang boleh merosakkan pahala puasa kita. Elakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang melalaikan serta boleh mengurangkan pahala puasa. Jangan jadikan puasa kita sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga sahaja.

Demikianlah sebahagian daripada kelebihan ibadah puasa dan keistimewaan bulan Ramadan al-Mubarak. Oleh itu, marilah kita merebut peluang yang sangat berharga ini dengan beribadah yang disertai dengan rasa kesyukuran dan kegembiraan, ikhlas dan yakin terhadap kurniaan Allah yang tidak ternilai banyaknya. Sesungguhnya keistimewaan dan kelebihan berpuasa dalam bulan Ramadan tidak akan kita nikmati jika tidak dilakukan dengan sempurna dan ikhlas. Di samping itu kita juga dituntut melakukan amalan kebajikan yang lain seperti bersedekah, berzikir, bertadarus, berzakat dan sebagainya. Dalam masa yang sama hedaklah dielakkan daripada membuat persediaan untuk berbuka puasa dan menyambut hari raya secara berlebihan.

Marilah kita menyiapkan diri dari segi rohani dan jasmani dengan melaksanakan perkara-perkara berikut:
1. Banyakkan membaca Al-Quran dan memahami maksudnya.
2. Mengerjakan sembahyang fardhu dan bertarawih secara berjamaah di masjid atau di surau.
3.Bersedekah dan mengadakan jamuan berbuka puasa khususnya kepada sahabat, jiran tetangga dan fakir miskin.
4. Beriktikaf di dalam masjid dan bertadarus.
5. Mengelakkan diri dari berbual-bual kosong dengan mengisi masa dengan kerja-kerja berfaedah seperti mendalami pengetahuan mengenai fardhu ain dan fardhu kifayah.
6. Sentiasa menjaga tutur kata, tidak hasad dengki dan gerak geri supaya tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.
7. Tidak membiarkan diri kita berlarutan dalam perkara-perkara yang sia-sia termasuklah tingkah laku dan perbuatan yang tidak berfaedah.
8. Hati kita hendaklah sentiasa ingat kepada Allah s.w.t.

Di samping kita mengerjakan ibadah puasa dengan cara yang paling sempurna dan mengisi masa sebulan Ramadan dengan amalan tersebut, kita juga hedaklah berazam untuk meneruskannya pada bulan-bulan yang berikutnya sehinggalah kita dipertemukan lagi dengan bulan Ramadhan tahun yang akan datang, INSYA-ALLAH.

Sumber: JAKIM

23/06/2008

Dari Lembah Putra ke Puncak Menara!!

Kepada semua calon STPM 2007 SMK Putra tahniah atas kejayaan anda melangkahkan kaki ke menara gading. Setakat ini 24 orang pelajar daripada 44 pelajar telah menerima surat tawaran masing-masing untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA dalam pelbagai bidang dam kursus. Kami guru-guru STPM tumpang gembira atas kejayaan kalian dan semoga menjadi perangsang dan dorongan kepada adik-adik di SMK Putra. Anda semua boleh berjaya di sini.

1. HAZLINA BINTI SIDI AHMAD, PENGURUSAN KERJA SOSIAL, UUM
2. HERDA NORLISNA BINTI HASBULLAH, PENGURUSAN (POLISI DAN SEKITARAN SOSIAL), UMT
3. MOHD HAFIZUDDIN BIN ABDUL RAHMAN, PENGAJIAN WARISAN, UMK
4. MUHAMAD IKRAM BIN OMAR, PENGAJIAN WARISAN, UMK
5. NOOR AZILA BINTI MOHD NOOR, SENI GUNAAN SINEMATOGRAFI (UNIMAS)
6. NUR AINI BINTI ZAINAL, SAINS SOSIAL (ANTROPOLOGI DAN DAKWAH) UDM
7. NURDALILA BINTI RAHIM,SENI HALUS (LAKONAN DAN PENGARAHAN) USM
8.ROHAMIZATIE BINTI MOHD NOR, BAC SAINS (PEMBANGUNAN MANUSIA & PENGURUSAN) UPM
9. ROSHIDAYU BINTI ISMAIL, PENGAJIAN MELAYU, UNIVERSITI MALAYA
10.SHUIDAH BINTI SULAIMA, PENGURUSAN MARITIM (UMT)
11.SITI MARIAM BT JUSOH, PENGURUSAN AWAM, UUM
12.MOHAMAD AZWAN BIN AHMAD, SASTERA, UNIVERSITI MALAYA
13.MOHD SUHAIMIE BIN MUHAMMAD, PENGAJIAN MELAYU, UNIVERSITI MALAYA
14.NIK HASMANI BINTI DAUD, SASTERA, UNIVERSITI MALAYA
15.NOOR HAFIZAH BINTI IBRAHIM, SASTERA (SENI HALUS) USM
16.NORHIDAYAT BINTI ABDUL AZIZ, SENI BINA, USM
17.NUR ASILAH BINTI ABD LATIF, BACELOR PENDIDIKAN (PENGAJARAN BM ), UPM
18.NURUL IZZATI BINTI ROMELI, SASTERA (SENI HALUS) USM
19.SUHAIDA BINTI SAHARUDDIN, SASTERA (PERSURATAN MELAYU), UKM
20.SUNITA BINTI MOHAMMAD SAFIE, PENGAJIAN BAHASA MELAYU, UKM
21.SUZAINATUL AKMA BINTI HASAN, PENDIDIKAN SEJARAH, UPSI
22.ZAINORA BINTI CHE ZAHRI, PENDIDIKAN SEJARAH, UPSI
23. HALIZA BINTI EMBONG, SAINS GUNAAN, TEKNOLOGI SENI REKA, UNIMAS
24. SITI MERIAM GHAZALI, PENGAJIAN WARISAN, UMK

15/05/2008

BUNGA SIRIH UNTUK GURU

Guru adalah ibu pengasuh budiman
guru adalah ratu lebah
lalu memujuk membelai kelopak
cinta kasih sayang
lilinnya berbunga sinar cahaya
madunya berbunga penawar jiwa.

Guru adalah penyu pengasih
lalu menabur bunga telur
baktinya segar mewangi
sepanjang pantal zaman.

Guru adalah lampu penyuluh
pedoman kehidupan
guru adalah pendakwah
lalu mengikut jejak Nabi Muhammad
memimpin insan
ke jalan lurus ke padang luas.

Bunga sirih bunga pirtang
terima kasih terima savang
budi bicara guru berjasa
kami sanjung tinggi.

J.M. AZIZ
Rumah Puisi
Seberang Takir
Kuala Terengganu

SELAMAT HARI GURU TAHUN 2008


Pantun Hari Guru
Dedikasi untuk semua guru
(Pelita Bahasa, Mei 2008)

Tujuh belas tahun rindu tersemat,
Tanjung Aru tempat berjumpa;
Lima belas Mei tarikh keramat,
Jasa guru janganlah dilupa.

Anak kancil pergi berguru
Tidak terbiasa kerja yang sia;
Dari kecil diasuh guru,
Agar dewasa menjadi manusia.

Hendak berburu ke luar kota,
Seluas alam bumi terentang;
Tanpa guru siapalah kita.
Ibarat malam tanpa bintang.

Jalan ke barat berpilin-pilin,
Cuaca redup menawar duka;
Guru ibarat cahaya lilin,
Menyuluh hidup tiap ketika.

Angin menderu dengan sepoinya,
Di anak tangga duduk berperikan;
Kasih guru akan muridnya,
Masa dan tenaga rela korbankan.

Meski Utarid kabur pandangnya,
Hanya percaya kuasa Tuhan;
Kasih murid akan gurunya,
Gapai jaya di hari depan.

Putik baru mekar di laman,
Kembang kudup kumbang terpikat;
Hargai guru sepanjang zaman,
Agar hidup beroleh berkat.

Istana kota sebelas langkat,
Tempat baharu Nakhoda Pekan;
Sama kata sama sepakat,
Hari guru marilah raikan.

09/05/2008

Kem Kecemerlangan SPM 2008


Buat julung kalinya, Kem Kecemerlangan SPM telah berlangsung selama 3 hari bertempat di Kem Seri Keluang. Kem anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling dan Projek Kecemerlangan SPM SMK Putra ini diharapkan dapat membantu pelajar menguasai tajuk-tajuk penting mata pelajaran SPM dan menyuntik semangat mereka untuk berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti.

Sambutan Hari Mesra Keluarga GUKITA 2008 meriah...

1 Mei 2008- Sambutan Hari Keluarga Warga SMK Putra disambut dengan meriah oleh lebih 170 orang ahli yang hadir. Bertempat di Sutra Beach Resort, Merang, pelbagai acara dijalankan, antaranya acara tarik tali, berebut kerusi, acara 'pinggang' lembut, cari gula-gula dalam tepung dan pelbagai jenis acara sukaneka lagi. Sesungguhnya sambutan hari keluarga seperti ini, yang turut sama dimeriahkan oleh Tuan pengetua dan keluarga ini mampu mengeratkan hubungan sesama ahli GUKITA dan seterusnya menaikkan semangat untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi dan gembira.



30/04/2008

SELAMAT HARI PEKERJA 1 MEI 2008


Selamat bercuti buat semua warga SMK Putra. Kepada ahli GUKITA, jangan lupa hadir pada PROGRAM MESRA HARI KELUARGA KELAB GUKITA yang akan berlangsung di Sutra Beach Resort, Merang Setiu. Pelbagai acara menarik dan hadiah menanti anda di sana!!! Jumpa di sana!!!!

LATIHAN DALAM PERKHIDMATAN SIRI 1 SMK PUTRA


Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) Siri 1 Guru-guru SMK Putra telah berlangsung dengan jayanya dan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada guru-guru. Majlis yang dijalankan di Dewan Zaharah, Bukit Keluang Beach Resort, Pantai Peranginan Bukit Keluang Besut itu bertemakan "Jadilah Guru Sebenar Guru, Sebenar Guru, Ke Sekolah Tidak Jemu, Mengajar Tidak Lesu" bermatlamat untuk:

1. Menghayati prinsip-prinsip utama Nilai dan Etika Perkhidmatan Awam dan Etika Perguruan
2. Meningkatkan pengetahuan guru tentang ilmu-ilmu pendidikan sejajar dengan perkembangan pendidikan semasa
3. Meningkatkan tahap keprofesionalisme guru-guru dan mengaplikasikannya dalam amalan P&P.

Dua orang fasilitator telah diundang bagi menjayakan LADAP Siri 1 ini iaitu Tuan Haji Wan Yusoff Wan Othman, Mantan Pengetua Kanan, dan Tuan Haji Aziz bin Mohd, KPP (Matematik)Jabatan Pelajaran Terengganu. Tuan Haji Wan Yusoff telah membentangkan kertas kerjanya iaitu ”Konsep Kerja Sebagai Suatu Ibadah : Ke Arah Melahirkan Guru Berkualiti”, manakala Tuan Haji Aziz pula membentangkan kertas kerja bertajuk “Jadilah Guru Sebenar Guru, Ke Sekolah Tidak Jemu, Mengajar Tidak Lesu”.

Tuan Haji Wan Yusof dalam kertas kerja telah menyenaraikan beberapa syarat pekerjaan untuk menyara kehidupan yang boleh dikategorikan sebagai satu ibadat, antaranya ialah:
1. Pekerjaan itu mestilah diharuskan oleh syarak (pekerjaan yang ditegah oleh Islam sudah pasti tidak akan menjadi satu ibadat)
2. Pekerjaan itu mestilah disertakan dengan niat yang baik (niat seseorang Muslim adalah untuk menjaga dirinya, membiayai keluarganya, memberikan manfaat kepada umatnya dan memakmurkan bumi seperti yang diperintahkan oleh Allah S.W.T)
3. Mestilah melakukan pekerjaan itu dengan tekun dan sebaik yang mungkin.
4. Mestilah berpegang teguh dengan hukum-hakam Allah (Tidak boleh berlaku zalim, khianat, menipu dan merampas hak orang lain)
5. Mestilah amalan dunianya tidak menyebabkan dia mengabaikan tanggungjawab keagamaannya.

Bagi beliau, untuk menjadi seorang guru yang berkualiti, guru itu mestilah menjadi seorang BINTANG iaitu Saya Tahu, dan Saya Mahu. Elakkan diri daripada menjadi seorang guru yang hanya 'PEMELIHARA' iaitu Saya Tahu tetapi Saya Tidak Mahu dan guru 'TUMPANG MAKAN' iaitu Saya Tidak Tahu dan Saya Tidak Mahu.

Nasihat beliau kepada guru-guru, gunakanlah pendekatan Doa + Solat + Solat Berjamaah + Tazkirah bagi menangani pelajar yang rendah akhlak.


TUan Pengetua SMK Putra, Encik Ramli Mhd Amin menyampaikan cenderamata kepada Tuan Haji Aziz bin Mohd

Majlis Tilawah Al-Quran, Hafazan dan Syarahan Agama Peringkat Daerah Besut Tahun 2008

31 Mac 2008 berlangsung satu program kerohanian bertempat di SMK Putra, iaitu Majlis Tilawah Al-Quran, Hafazan dan Syarahan Agama Peringkat Daerah Besut Tahun 2008. Terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.

29/04/2008

13 APRIL 2008: Watikah Pelantikan Pengawas 2008



Selamat berwatikah, selamat menjalankan tugas dengan penuh amanah. Semoga janji dan ikrar tidak mudah terlerai. Disiplin itu asas kejayaan!!!

28/04/2008

SAMBUTAN MAULIDURRASUL PERINGKAT SEKOLAH




3 APRIL 2008: Sambutan Maulidur Rasul Peringkat SMK Putra telah dilaksanakan pada 3 April 2008 bertemakan "UMMAH CEMERLANG INSAN GEMILANG". Objektif sambutan ialah mendidik pelajar agar mengingati hari-hari kebesaran Islam, mengingati peristiwa kelahiran Rasulullah S.A.W dan melahirkan insan yang berbudi pekerti dan berakhlak mulia.
Peristiwa kelahiran Rasulullah saw sewajarnya menjadi ingatan seluruh umat Islam khususnya kepada para pelajar sebagai satu cara untuk menzahirkan kecintaan terhadap baginda. Antara aktiviti wajib bagi mengisi majlis sambutan ini ialah ceramah Maulidur Rasul. Namun, bagi memberi sedikit kelainan pada sambutan tahun ini, guru-guru Panitia Pendidikan Islam memutuskan untuk mengadakan ”Pertandingan Sepanduk” dan ”Perarakan Maulidur Rasul”. Acara ini bertujuan memberi pengalaman kepada pelajar agar merasai sendiri kemeriahan suasana sambutan maulidur rasul di peringkat sekolah mereka.

10/04/2008

KEM MOTIVASI DAN JATI DIRI PELAJAR TERBILANG



28 Februari - Satu Kem Motivasi dan Jati Diri Pelajar Terbilang PMR, SPM dan STPM telah dijalankan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Putra. Kem yang bertemakan "Menjana Kecemerlangan Insan" ini telah dikelolakan oleh Konsultan dari Taman Al-Quran Hadiiqotul Muqarrabiin bermatlamat untuk melahirkan generasi pelajar yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap matlamat hidup dan tanggungjawab mereka terhadap Tuhan, diri, keluarga dan negara. Aturcara program ini juga turut melibatkan ibu bapa pelajar dan mendapat sambutan yang memberangsangkan. Terdapat 7 modul yang telah didedahkan kepada pelajar iaitu Ketenangan Jiwa Melalaui Solat, Solat Asas Kejayaan Mukmin, Ke Arah Pemantapan Solat (3 bengkel), kuliah Maghrib dan Meniti Titian Jaya/ Cubit-cubit Sayang.

13/03/2008

KEPUTUSAN STPM SMK PUTRA CEMERLANG!


11 MAC- Keputusan STPM tahun 2007 yang dikeluarkan hari ini menunjukkan bahawa SMK Putra terus cemerlang dan menjadi antara sekolah terunggul di negeri Terengganu. Dengan kelulusan 100%, iaitu sekurang-kurangnya lulus penuh satu mata pelajaran telah meletakkan SMK Putra di tempat ketiga sekolah-sekolah Terengganu, iaitu selepas SMKA Sheikh Abdul Malik, Kuala Terengganu dan SMKA Durian Guling, Marang. Ini juga bermakna SMK Putra menjadi sekolah harian terbaik di negeri ini. Gred Purata Calon (GPS) juga telah mingkat dari 2.52 dalam STPM 2006 kepada 2.55. Pelajar terbaik ialah NORHIDAYAT BINTI ABDUL AZIZ yang mendapat NGMP 3.58. Tahniah diucapkan kepada semua pelajar dan guru-guru pasukan STPM tahun 2007.

26/02/2008

Selamat Datang, Selamat Berkhidmat di SMK Putra!



Warga SMK Putra mengalu-alukan kehadiran Pengetua Ke-5 SMK Putra, Encik Ramli bin Mohd Amin. Semoga SMK Putra akan cemerlang di bawah pengurusan tuan. Bersama-samalah kita cemerlangkan PUTRA, bersama-sama bersatu tenaga mencapai visi dan misi ke arah menjadikan SMK Putra menjadi sekolah cemerlang di daerah Besut menjelang tahun 2010.

Encik Ramli bin Mohd Amin telah berkhidmat di beberapa buah sekolah di daerah Besut, antaranya:
1. SMK Nasirudin Shah (1.6.1978)
2. SMK Seri Nering (1984-1986)
3. SMK Tengku Mahmud (1 Julai 1986 - 1993)
4. SMK Pelagat (1.12.1994)
5. SMK Tengku Mahmud 2 (1.1.2006 - 17.7.2007) - sebagai Guru Penolong Kanan 1
6. SMK Permaisuri Nur Zahirah (17 Julai 2007) Pengetua
7. SMK Putra (1.1.2008)

Beliau berkelulusan Sarjana Muda dengan Kepujian Pendidikan dengan pengkhususan dalam mata pelajaran Fizik.

Datang dan pergi....


Pertukaran Pengetua Ke-3 SMK Putra, Tuan Haji Mohamad bin Ghani ke SMK Kuala Besut mengejutkan warga sekolah. Atas kehendak perkhidmatan dan keperluan pendidikan, beliau yang baru berkhidmat tidak sampai satu tahun di sini ditukarkan ke SMK Kuala Besut sebagai pengetua. Tempat beliau kemudiannya digantikan pula dengan Tuan Haji Romeli bin Abdul Rahman, yang bertukar dari SMK Tok Dor. Tidak sampai 2 bulan berkhidmat di kampung kelahiran, beliau ditukarkan pula ke SMK Permaisuri Nur Zahirah. Warga sekolah merakamkan setinggi-tinggi terima kasih atas segala sumbangan tuan-tuan terhadap pembangunan pendidikan SMK Putra.

RAKAMAN KENANG-KENANGAN

09/01/2008

Selamat Menyambut Awal Muharam 1429H


Semoga Tahun Baru Maal Hijrah 1429 memberikan seribu kejayaan kepada warga SMK Putra, dimurahkan rezeki, diteguhkan iman, dibahagiakan hidup, dimewahkan amalan, dicurahkan kasih sayang dan sentiasa berada dalam keberkatan dan lindungan-Nya.

02/01/2008

Amanat Pengetua Baharu SMK Putra (Pengetua Ke-4)

Assalamualaikum.
Bismillahirahmanirahim.

Syukur Alhamdulilah sesi persekolahan 2008 dapat dimulai. Saya mengucapkan selamat bertugas di SMK Putra kepada semua guru dan staf sokongan sekalian. Kesungguhan melaksanakan tugas mengikut garis panduan dan etika yang ada merupakan ‘rahmat’ kepada pelajar dan ‘nikmat’ kepada guru dan generasi kita.

Saya yakin kejayaan akan kita perolehi melalui pendisiplinan diri guru dan pelajar. Program Pembestarian Solat, Star dan Koko mesti dipatuhi bersama. Keberanian secara ikhlas dalam melaksanakan tugas sangat memerlukan pengorbanan.

Pelajar-pelajar yang berdisiplin akan memudahkan P&P berlaku dengan lancar dan cepat. Pengulangan pelajaran menambahkan kemahiran dan kebolehan pelajar menghadapi peperiksaan. Sebahagian besar penilaian terhadap guru, pelajar dan sekolah diperhatikan secara perbandingan dengan sekolah-sekolah lain. Kecemerlangan akan menambahkan kemesraan dan kebolehpercayaan pelanggan untuk berurus dengan kita .

Saya menyarankan kepada semua guru dan staf sokongan SMK Putra untuk bersatu, saling membantu, tegur-menegur dan bekerja bersama secara bersungguh-sungguh menghasilkan modal insan.

Semoga PIPP berjaya melalui kerja kita. Ingatlah visi SMK Putra “ Sekolah Menengah Kebangsaan Putra akan menjadi sekolah terunggul dalam kalangan sekolah menengah harian biasa di Daerah Besut menjelang 2010” dapat di fokus dengan baik melalui pelaksanaan misi-misi sepanjang perkhidmatan tuan-tuan dan puan-puan di SMK Putra.


Sekian terima kasih. Wassalam.

“BEKERJASAMA CEMERLANGKAN SMK. PUTRA”

( HJ. ROMELI BIN AB. RAHMAN )
Pengetua
Sekolah Menengah Kebangsaan Putra
2 Januari 2008

01/01/2008

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BAHARU 2008

Semoga tahun 2008 bermula dengan baik, berjalan dengan baik dan berakhir dengan baik dan gemilang. Selamat memajukan SMK Putra, bersama kita muhasabah diri dan membaiki mana yang pincang. Insya-Allah.