14/11/2010

Selamat bercuti untuk cuti akhir tahun 2010


Selamat bercuti untuk semua pelajar. Jangan lupa tugas cuti terancang yang telah diberikan oleh setiap guru mata pelajaran. Habiskan masa cuti ini dengan perkara yang bermanfaat. Berhati-hatilah terutama pada musim tengkujuh ini lebih-lebih lagi kawasan tempat tinggal anda terdedah dengan banjir.

Kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM tahun ini, selamat meneruskan perjuangan dan menjawab soalan peperiksaan dengan baik. Ikutlah pesanan guru. Buatlah persediaan menghadapi peperiksaan pada musim banjir ini. Berpindahlah segera ke tempat yang selamat atau menumpang di rumah rakan-rakan jika terdapat tanda-tanda akan berlaku banjir agar anda dapat menghadiri peperiksaan dengan selamat.

Kepada guru-guru, terima kasih kepada semua yang terus memberikan sumbangan dan terus berkhidmat dengan dedikasi sepanjang musim cuti ini dengan bertugas mengawasi dan menguruskan perjalanan peperiksaan SPM dan STPM 2010 berjalan dengan baik.

Mesyuarat guru pertama untuk tahun 2011 akan dijalankan pada 31 Disember 2010 dan semoga kita akan bertemu lagi. Selamat bercuti. Salam Aidiladha, selamat hari raya korban 1431H.

03/06/2010

Majlis Persaraan Cikgu Zarawi Mat Saman

Tarikh: Khamis 3 Jun 2010
Tetamu kehormat :

1. Yb Tn Haji Nawi bin Mohamad, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Hulu Besut

2. Tn Haji Abu Bakar bin Ramli, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Besut




Selamat menempuh alam persaraan dengan sesuatu yang bermakna dan mendapat keredhaan daripada-Nya. Warga SMK Putra mengucapkan selamat bersara dan terima kasih atas segala budi yang dicurahkan selama ini.

23/05/2010

Peperiksaan Pertengahan Tahun 2010

23 Mei hingga 3 Jun 2010.
Sekarang sedang berlangsung Peperiksaan Pertengahan Tahun 2010. Semoga pelajar-pelajar dapat menjadikan peperiksaan ini sebagai satu agenda untuk merancang dan menilai hasil pembelajaran selama ini. Kepada guru-guru, semoga analisis dan data yang diperoleh daripada pengujian dan penilaian ini dapat dijadikan sebagai asas dalam merancang aktiviti dan program yang lebih berkesan.

18/04/2010

Ceramah Seni Visual oleh Dr Abdul Halim Husian, UPSI

Tarikh: Ahad 18 April 2010
Masa: 11.00 pagi
Acara: Ceramah Seni Visual untuk pelajar-pelajar Pra-u PUTRA
Penceramah: Dr. Abdul Halim Husain, UPSI, Phd. Art & Design
Tempat: Bilik Mesyuarat SMK Putra.

18/02/2010

Sukantara SMK Putra Tahun 2010

Unit Kokurikulum SMK Putra telah menjalankan Sukantara pada 17 dan 18 Februari yang melibatkan 4 buah rumah sukan. Acara yang dipertandingkan ialah lumba lari 100m dan 400m, 400m berganti-ganti dan lompat jauh. Menurut Tuan Haji Mazlan Mohamed, Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMK Putra, aktiviti sukantara ini dilaksanakan bagi menyediakan peserta-peserta untuk Kejohanan Olahraga Ke-5 SMK Putra yang akan berlangsung pada minggu depan. Keadaan agak meriah dengan sorakan daripada ahli rumah masing-masing, tetapi yang kelihatan lebih bersemangat bukanlah pelajar-pelajar, tetapi guru-guru sendiri.

17/02/2010

Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Pengawas Sekolah dan Pengawas Pusat Sumber Sekolah Tahun 2010


Awan yang berarak mendung pada 17 Februari telah menyebabkan majlis yang sepatutnya berlangsung di padang perhimpunan SMK Putra terpaksa beralih ke Dewan ICT. Namun begitu, majlis Penyerahan Surat Pelantikan ini telah berjaya disempurnakan. Majlis yang bermula pada pukul 8.30 pagi ini selesai pada jam 11 pagi. Tuan Noor Zainy Bin Hj Mohd Nor, Deputi Superintendan Polis, Timbalan Ketua Polis Dawerah Besut telah sudi untuk menyampaikan surat pelantikan tersebut dan seterusnya merasmikan majlis tersebut.
Dalam ucapan perasmiannya, Tuan Noor Zainy menekankan peri pentingnya disiplin dalam kalangan pelajar tidak kira di mana sahaja mereka berada sama ada di dalam kawasan sekolah, mahupun ketika memandu di jalan raya. Beliau juga menasihati pengawas-pengawas yang dilantik agar bertugas dengan penuh dedikasi dan amanah. Majlis berakhir dengan bacaan ikrar pengawas-pengawas yang dilantik yang diketuai oleh Ketua Pengawas SMK Putra, iaitu Saudara Abdul Muqit bin Muhammad, pelajar kelas prauniversiti. Semoga tanggungjawab yang diamanahkan mampu dipikul oleh pelajar-pelajar bagi mewujudkan suasana sekolah yang harmoni.

23/01/2010

Kursus Pemantapan Tatabahasa Guru-guru SMK Putra Bil 1/2010



Tajuk Kursus: Kursus Pemantapan Tatabahasa Guru-guru
Anjuran: Panitia Mata pelajaran Bahasa Melayu SMK Putra
Tarikh: 23 Januari 2010
Ahli: Semua guru mata pelajaran Bahasa Melayu, Pengajian Am dan Kesusasteraan Melayu.

Jadual program:
8.00 - 8.30 pagi : Pendaftaran
8.30 - 10.Ujian Pengesanan Tahap Penguasaan Tatabahasa
10.30 - 11.00 pagi : Rehat/ Minum pagi
11.00 - 1.00 petang : Kesalahan-kesalahan Umum Bahasa
1.00 - 2.00 petang: Rehat/ Makan tengah hari
2.00 - 4.00 petang : Bengkel Pembinaan Bahan P&P (Pengkhususan Tatabahasa)



Kursus yang berobjektif untuk memantapkan penguasaan tatabahasa guru terutama guru-guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu telah berjalan dengan baik dan mendapat sambutan daripada semua ahli panitia.

01/01/2010

Selamat Tahun Baharu 2010

Semoga tahun baharu 2010 ini akan bermula dengan baik, berjalan dengan baik dan berakhir dengan baik. Warga SMK Putra mengalu-alukan kehadiran 3 orang guru yang akan bersama-sama menggembleng tenaga memajukan dan mencemerlangkan SMK Putra iaitu,
Puan Rose Monalisa bt Mohamad, dari SMK Seri Nering dan guru penempatan baru, Cik Nor Azilah bt Mohd Kassim dan Tengku Nur Akmarini bt Tengku Chek.