18/02/2010

Sukantara SMK Putra Tahun 2010

Unit Kokurikulum SMK Putra telah menjalankan Sukantara pada 17 dan 18 Februari yang melibatkan 4 buah rumah sukan. Acara yang dipertandingkan ialah lumba lari 100m dan 400m, 400m berganti-ganti dan lompat jauh. Menurut Tuan Haji Mazlan Mohamed, Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMK Putra, aktiviti sukantara ini dilaksanakan bagi menyediakan peserta-peserta untuk Kejohanan Olahraga Ke-5 SMK Putra yang akan berlangsung pada minggu depan. Keadaan agak meriah dengan sorakan daripada ahli rumah masing-masing, tetapi yang kelihatan lebih bersemangat bukanlah pelajar-pelajar, tetapi guru-guru sendiri.

17/02/2010

Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Pengawas Sekolah dan Pengawas Pusat Sumber Sekolah Tahun 2010


Awan yang berarak mendung pada 17 Februari telah menyebabkan majlis yang sepatutnya berlangsung di padang perhimpunan SMK Putra terpaksa beralih ke Dewan ICT. Namun begitu, majlis Penyerahan Surat Pelantikan ini telah berjaya disempurnakan. Majlis yang bermula pada pukul 8.30 pagi ini selesai pada jam 11 pagi. Tuan Noor Zainy Bin Hj Mohd Nor, Deputi Superintendan Polis, Timbalan Ketua Polis Dawerah Besut telah sudi untuk menyampaikan surat pelantikan tersebut dan seterusnya merasmikan majlis tersebut.
Dalam ucapan perasmiannya, Tuan Noor Zainy menekankan peri pentingnya disiplin dalam kalangan pelajar tidak kira di mana sahaja mereka berada sama ada di dalam kawasan sekolah, mahupun ketika memandu di jalan raya. Beliau juga menasihati pengawas-pengawas yang dilantik agar bertugas dengan penuh dedikasi dan amanah. Majlis berakhir dengan bacaan ikrar pengawas-pengawas yang dilantik yang diketuai oleh Ketua Pengawas SMK Putra, iaitu Saudara Abdul Muqit bin Muhammad, pelajar kelas prauniversiti. Semoga tanggungjawab yang diamanahkan mampu dipikul oleh pelajar-pelajar bagi mewujudkan suasana sekolah yang harmoni.