MASA DEPAN ITU SEKARANG

26/03/2007

WAJAH-WAJAH CERIA SMK PUTRA


SELAMAT DATANG PENGETUA BARU (PENGETUA KE-3)




22 Januari 2007, Pengetua Ke-3 SMK Putra, Tn Hj Mohamad bin Ghani, bekas Guru penolong Kanan 1 SMK Kuala Besut, secara rasmi bertugas di SMK Putra. Selamat datang dan selamat bertugas. Moga SMK Putra akan menjadi antara sekolah cemerlang di bawah pimpinan tuan.

PERTUKARAN PENGETUA KE SMK TENGKU MAHMUD BESUT




18 Januari 2006.




Pengetua kedua SMK Putra, Tn Hj Mhd Ramli bin Che Mat telah bertukar ke SMK Tengku Mahmud Besut, iaitu satu-satunya sekolah premier di daerah Besut. Warga PUTRA mengucapkan selamat bertugas di sekolah baru, semoga SMK Tengku Mahmud akan terus gemilang di bawah pentadbiran tuan. Terima kasih.




Puteri berlapan cantik gemilang,


Indah dihias dayang bitara,


Tinggi penghargaan tidak terbilang,


Hendak dibalas tidak terdaya.




Anak haruan mainan puteri,


Kandi perak buat penggalas,


Jasamu tuan tersemat di hati,


Berbudi tidak mengaharp balas.




08/03/2007

PENGETUA KE-2 SMK PUTRA

Biodata Tn Hj Mhd Ramli bin Che Mat
Pengetua Kedua SMK Putra
(Disember 2000 – Januari 2007)


Tuan Haji Mhd Ramli bin Che Mat, pengetua kedua SMK Putra telah dilahirkan 18 Disember 1953 di Kampung Sungai, Besut. Beliau memulakan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampong Raja, kemudian melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Nasirudin Shah. Beliau kemudiannya mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim sehingga tahun 1974 dan memulakan tugas sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Bukit Tempurong pada tahun 1975. Selepas itu, Tuan Haji Mhd Ramli telah melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dan lulus ijazah sarjana muda dengan kepujian pada tahun 1979. Tamat pengajian, beliau memulakan perkhidmatan di Sekolah Menengah Ibrahim Fikri Kuala Terengganu bermula pada tahun 1979 sehingga 1983. Sekolah-sekolah lain yang pernah menerima khidmat bakti beliau ialah Sekolah Menengah Tengku Mahmud, Besut dari tahun 1984 sehingga 1990, Guru Penolong Kanan 1 di SMK Pelagat 1991- 1995, Guru Penolong Kanan 1, SMKTengku Mahmud 2 (1996-1999), Guru Penolong Kanan 1 di SMK Kuala Besut dari Februari hingga November 2000 dan akhirnya memulakan tugas sebagai pengetua di sekolah ini pada Disember 2000.

Hasil perkongsian hidup dengan Puan Hajah Khatimah Awang, beliau dikurniakan 7 orang anak, 5 putera, 2 puteri iaitu Nordiani (Universiti Tuan Abdul Razak), Mohd Rizwan (bekerja sendiri), Mohd Faizal (Universiti Al Bayt Jordan), Mohamad Zamir (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), Umar Izudin dan Fatihah Syafikah (SMKA Nurul Ittifaq) dan putera bongsu Umar Hakimi, SK Tengku Mahmud 2.

Selain menjawat jawatan pengetua, Tn Hj Mhd Ramli merupakan Yang Dipertua PKPSM (Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah-sekolah Malaysia) bagi daerah Besut dan Ahli Jawatankuasa PKPSM Negeri Terengganu.

Walaupun sibuk dengan tugas seharian, masa terluang beliau banyak disumbangkan kepada masyarakat terutama dalam bidang yang berkaitan dengan kerohanian. Antara sumbangan beliau kepada komuniti ialah Pengerusi Badan Khairat Kematian Kampung Alor Lintang, Ahli Jawatankuasa Persatuan Imam dan Bilal Daerah Besut dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud 2.

Atas segala sumbangan yang telah diberikan, Tn Hj Mhd Ramli telah dianugerahi Anugerah perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2005 dan Pingat Jasa Kebaktian pada tahun 2006.

Jiwa sebagai seorang pendidik memang sebati dengan beliau kerana baginya, saat yang paling manis dalam hidupnya bukan kerana mendapat wang berjuta tetapi tercapainya hasrat dan cita-cita untuk bergelar sebagai guru merupakan suatu perkara indah yang berlaku dalam hidup beliau.. Namun begitu, sebagai manusia biasa beliau tidak lari daripada menghadapi saat-saat duka apabila menerima berita kematian ayahanda tercinta pada tahun 1977, iaitu sebelum sempat melihat beliau berjaya menamatkan pengajian di universiti.

Berpegang kepada prinsip HIDUP MESTI MENYUMBANG, Tn Hj Mhd Ramli amat berharap visi SMK Putra untuk menjadikan sekolah kita sebagai sekolah terunggul dalam kalangan kalangan sekolah harian akan menjadi kenyataan. Oleh itu, marilahlah kita, warga PUTRA sama-sama menyahut cabaran dan harapan ini dengan memberikan apa jua sumbangan kepada sekolah.

Kami, warga PUTRA percaya, di mana sahaja tuan berada, sumbangan tuan sangat diperlukan bagi memajukan sistem pendidikan di daerah kita, bak kata pepatah, benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.

04/03/2007

TAZKIRAH

TAJDID IMAN

· Usia emas adalah tahap kematangan manusia.
· Semakin tua seseorang, semakin banyak pengalaman hidup yang dialami.
· Pengalaman masa lalu adalah guru setia kehidupan insani.
· Jadikan usia muda sebagai landasan untuk kebahagiaan pada hari tua.
· Usia muda hanya sekali dan usia tua pula pasti datang. Beribadat dan beramal sejak muda agar kita tidak kesempitan hidup pada masa depan.
· Semakin lama kita hidup, semakin kukuh menerjang badai, pahit manis menjadi pengajaran, kita bertambah dewasa, semakin matang dalam berfikir, bertindak dan merasa.
· Semakin lama kita hidup, semakin kukuh menerjang badai, pahit manis menjadi pengajaran, kita bertambah dewasa, semakin matang dalam berfikir, bertindak dan merasa.
· Setiap usaha manusia perlu disertai dengan pasrah kepada Allah kerana Dia yang mentakdirkan segala-galanya.
BUAT GURU-GURU....

seumpama malam pekat gelita, guru adalah lampu
seumpama ladang terbentang saujana guru adalah benih.

dialah penabur aksara membentuk kata-kata
dialah pelentur jari-jemari menulis dengan sempurna
dia pengenal angka pengasuh mengira.

marahnya bukan benci tapi sayang
tegasnya bukan beremosi tetapi bertimbang.

dia melayan kerenah birokrasi dengan tenang
dia berhadapan dengan berani serta bimbang.

dia punya gedung ilmu dan kunci yang tidak pernah lokek
dadanya tidak pernah serik dari menggali telaga yang cetek.

yang mencabar baginya bukan mengajar
tetapi berhadapan dengan murid yang terkurang ajar.

yang sering pandai dan pintar untuk kasar biadab
yang sering bodoh dan dungu untuk lembut beradab.

bukan gunung emas jadi ukuran buatnya mengecap bahagia
tetapi damai dan tenang untuknya berbakti
meskipun di mana.