MASA DEPAN ITU SEKARANG

18/09/2007

JEJAK INTEGRASI PERIBUMI MERDEKA 2007


5 September 2007: Seramai 250 peserta yang terdiri daripada guru, ibu bapa dan pelajar SMK Putra termasuk 15 ahli Persatuan Bermotor Pancuan Empat Roda BELANTARA Besut telah menyertai Program Jejak Intergrasi Peribumi Merdeka 2007 ke perkampungan orang asli Kuala Sayat, Hulu Besut pada 5 September (Rabu) hari ini.

Peserta yang mengikuti program tersebut dengan menggunakan 60 buah kenderaan telah dilepaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Hulu Besut, Yang Berhormat Haji Nawi Mohamad dari perkarangan sekolah tersebut kira-kira jam 8.30 pagi. Setelah mendengar taklimat semua peserta telah bergerak mengikut laluan yang ditetapkan sambil menyertai Program Harta Karun yang disediakan pihak penganjur iaitu Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Terengganu (JHEOT).

Kesemua peserta telah sampai ke destinasi kira-kira jam 11.0 pagi dan kemudiannya telah mengikuti program yang disediakan membabitkan aktiviti ramah mesra, gotong-royong dan aktiviti sukan sebelum makan tengah hari bersama-sama masyarakat orang asli dari kampung berkenaan tepat jam 1.00 tengahari.

Pengerusi Jawatankuasa Program, Hajah Zaidon Hassan memberitahu program julung kali yang diadakan itu adalah bagi menyahut saranan kerajaan untuk mewujudkan intergrasi nasional di kalangan rakyat dengan mengadakan hubungan dengan masyarakat orang asli di perkampungan Kuala Sayat yang agak terpisah daripada masyarakat luar. Katanya, kesedaran pihaknya menganjurkan program itu juga adalah bagi menghayati dan mengenali masyarakat orang asli dengan lebih dekat dan memahami kepentingan kewujudan mereka kepada negara.
" Program tersebut nyata mendapat sambutan dan berjaya merapatkan hubungan di antara masyarakat orang asli yang masih mundur dengan peserta yang mengikuti program tersebut", katanya lagi.
Program tersebut telah ditutup dengan rasminya oleh Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Kemanusiaan, JPNT Haji Che Soh sebelum kesemua peserta bertolak pulang ke sekolah kira-kira jam 4.30 petang.


Pengarah projek, Puan Siti Meriam Deraman mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dan juga kepada pihak yang menghulurkan sumbangan sehingga program ini dapat dijalankan dengan jayanya.

No comments: